Sabtu, 10 September 2016

KAMI TIADA DUIT

ASSALAMUALAIKUM & BISMILLAH

KALI NI SAYA BERKONGSI KISAH BENAR


Kerap kali saya berjumpa dengan waris yang mengadu tidak ada duit untuk menyempurnakan jenazah ahli keluarganya bila berlaku sesuatu kematian.

Bila menyentuh bab kematian, ia bukanlah sesuatu yang dirancang kita sebagaimana majlis perkahwinan. Kadang-kadang berlaku dalam keadaan kita tidak bersedia terutamanya dari segi kewangan.

Pun demikian, itu bukanlah suatu halangan untuk kita menangguhkan urusan penyempurnaan jenazah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

"Wahai Ali, ada tiga perkara yang tidak boleh engkau tunda, yakni solat jika telah tiba waktunya, jenazah apabila telah hadir, dan wanita apabila telah ada calon suami yang bersesuaian” (HR. Tirmidzi dan Ahmad).

Namun dalam zaman di mana segala-galanya memerlukan wang kini, soal kematian juga telah menjadi seolah-olah sebuah bentuk 'perniagaan'. 

Ya, tidak salah mengambil upah kerana ia diharuskan dalam Islam. Tetapi ada juga sesetengah pihak yang sanggup mengambil kesempatan di dalam kesempitan orang lain. Mereka mengenakan kadar caj yang terkadang terlalu keterlaluan dan berlebihan sehingga membeban dan menyukarkan sesetengah pihak waris.

Ada juga waris yang jenis ambil mudah. Bayar sajalah yang penting semua selesai. Dengan anggapan sebegitu, mereka terkadang menyerahkan segala urusan kepada pihak yang dibayar sehinggakan langsung tidak ambil bahagian dalam menguruskan jenazah walaupun jenazah itu ibu ayah mereka sendiri! Allahuakbar! Ini semua kisah benar!!


Semalam (7 Sept 16), saya mendapat panggilan hospital pada jam 8pagi. Sememangnya waktu sebegitu saya kurang bersemangat nak keluar rumah untuk menghadap 'jammed' sekitar jalan di Kuala Lumpur. Tapi dek kerana tanggungjawab, maka saya teruskan juga.
Kebetulan kesesakan hari ini sangat luar biasa sehinggakan saya sampai ke hospital hampir jam 10pagi! Rupa-rupanya disebabkan LRT ada masalah menyebabkan ribuan orang terkandas dan menaiki kereta ke tempat kerja. Allahuakbar.

Sampai di sana, seperti biasa saya terus ke tempat menguruskan jenazah. Tiba-tiba waris datang ke arah saya dan berkata,
"Ustaz, jangan mandikan lagi. Ada masalah sikit."
"Masalah dari segi apa?" Saya tanya.
"Hurm..sebenarnya kami dah panggil ustaz lain untuk uruskan jenazah. Sekejap lagi dia sampai."
"Allahuakbar.. Kenapa tak telefon saya awal-awal bagitau..? Saya menghadap 'jammed' 2 jam tahu tak untuk sampai sini.." angin juga saya pada mulanya kemudian saya dan pembantu saya 'packing' barang untuk balik.
Kecewa pada awalnya tapi bila difikirkan balik mungkin keluarga tersebut mempunyai masalah kewangan. Ya, kadar caj pengurusan jenazah pada hari ini di hospital terutamanya sangat tinggi dan melampau!

Bukan saya atau kami yang tukang mandi dan kapan ini yang tetapkan kadar itu. Tapi ada pihak lain yang awal-awal sudah menetapkan harga untuk kepentingan mereka! Allahurobbi...

Petang harinya, sekali lagi saya mendapat panggilan dari hospital yang sama. Kali ini lain pula kisahnya.

Sampai saja di lokasi, saya melihat beberapa orang waris duduk berkumpul mungkin sedang berbincang. Tiba-tiba salah seorang ahli waris datang berjumpa saya dan berkata,

"Maaf ustaz, kami nak bawa jenazah balik untuk diuruskan di surau kami."
Allahuakbar, sekali lagi.. :'(
Saya tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus perlahan dan bertanya,
"Boleh saya tahu apa masalahnya ya?"
"Begini ustaz, kami pihak waris tak ada duit untuk menguruskan jenazah di sini. Jadi kami rasa biarlah jenazah diuruskan di tempat kami."
Saya sudah mengagak perkara begini pasti puncanya maka saya katakan pada mereka,
"Soal duit bukan masalah besar bang. Apa yang penting, kita sempurnakan jenazah ini dulu. Abang tak perlu membayar satu sen pun, biar saya yang tanggung kosnya. Ini fardhu kifayyah yang wajib disegerakan."

Dia terdiam dan saya nampak waris yang lain juga bagai terkedu. Kemudian mereka berbincang ringkas dan terus bersetuju dengan cadangan saya.

Selesai menguruskan jenazah, berkali-kali pihak waris mengucapkan terima kasih kepada saya. Mereka mengambil kad kerja saya untuk dirujuk pada masa akan datang.
Allahurobbi.

Inilah kisah sebahagian masyarakat yang jarang orang tahu mengenainya. Mereka hanya tahu apabila perkara sebegini terjadi kepada ahli keluarga mereka.

Saya membuka kisah ini bukanlah untuk menunjuk apa yang telah saya lakukan. Tetapi sebagai satu kesedaran dan membuka mata pihak berwajib.

Mungkin pelbagai usaha telah dijalankan, namun hakikatnya perkara sebegini masih terus berlarutan. Sudahlah masyarakat kini dihimpit dengan masalah ekonomi masing-masing. Dah mati pun bermasalah juga! Allah.. Allah...

Bak kata 'apek' dalam cerita Madu Tiga karya Seniman Agung P.Ramlee,
"Haiyaa...hidup pun susah, mati pun susah..."

Begitulah yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Jika tak tahu siapa yang perlu dihubungi, telefonlah pihak JAWI bahagian Kebajikan (untuk kawasan Wilayah Persekutuan sahaja, lain-lain negeri sila rujuk pejabat agama masing-masing).
Sebab itulah waktu hidup ini kita perlu bermasyarakat, baru mudah orang bantu kita di waktu kesempitan. Surau dan dan masjidlah tempat yang paling sesuai untuk bersilaturrahim. Jangan sombong!

Namun seandainya sukar untuk menghubungi pihak tersebut, saya bersedia membantu semampunya. Ingat, permasalahan wang bukan isu penting. Apa yang jauh lebih penting, kita persiapkan si mati dengan sebaik mungkin untuk bertemu dengan Allah s.w.t.
Saya bukanlah orang senang, tapi saya senang untuk membantu orang lain.
Seandainya ada orang senang yang hendak membantu saya, belikanlah set peralatan mandi kafan dan sumbangkanlah pada saya untuk saya gunakan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ya, ini juga adalah satu jariah!
Semoga Allah s.w.t. memudahkan segala urusan kita sebagaimana kita berusaha untuk memudahkan urusan orang lain.

"...dan sesungguhnya Allah akan membantu mereka yang membantu agama-Nya." 
(al-Hajj:40)

Salam hormat dan kasih sayang.
Wassalam.


-USTAD MOHAMAD RAFIEUDDIN  
- 013-322 7937
-Pengurusan Jenazah di Hospital2 dan Masjid2 sekitar Lembah Klang (W.P/ Selangor)
-Mudir Maahad Tahfiz Nur Fattah, Batu Caves
-Pendakwah Bebas

P/S : ADA TIGA GAMBAR NANTI SAYA MASUKKAN. BUAT PENGETAHUAN SEMUA KISAH INI TELAH SAYA MINTA KEBENARAN DARI USTAD TERSEBUT. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular