KISAH PASTI : PEMBURU SUBUH YANG ISTIQAMAH!
"Subuh, 01 Mei
2017. Saat saya berada di sebuah Masjid di Petaling Jaya sedang
menyampaikan kuliah Subuh, telefon saya bergetar tanda ada panggilan
masuk. "Kalau panggil pagi-pagi ni mesti ada orang meninggal ni", hati
saya meneka.
Berulang kali bergetar, akhirnya saya segera
menamatkan kuliah Subuh dan menjawab panggilan itu dari suara yang saya
kenal iaitu salah seorang jemaah surau saya. Dia memaklumkan kepada
saya, "Ustaz, saya nak maklumkan En. Zainal Janggut (gelaran setempat)
baru meninggal di rumahnya."
Innalillahi wainna ilaihi raajiiuun..
Setelah selesai sarapan pagi yang disediakan oleh pihak masjid, saya
bergegas ke rumah arwah. Saya lihat sudah ramai jiran dan saudara
terdekat arwah berkumpul. Saya mendekati arwah dan melihat wajahnya. Subhanallah. Betul ke dah meninggal ni? Sungguh, macam sedang tidur! Sangat tenang
.
Selang beberapa ketika, selesai segala urusan dokumentasi dengan pihak
polis, saya mengarahkan jenazah dibawa pergi ke surau untuk
disempurnakan.Alhamdulillah, segala urusan menguruskan jenazah sempurna dari awal hingga akhir. Tidak sukar memandikan dan mengkafankannya.
Anak arwah mahu jenazah dikebumikan selepas solat Zohor kerana masih
ada saudara yang dalam perjalanan. Saya akur dan hormati permintaan
warisnya itu.
Saat itu hujan lebat mula turun namun kehadiran
tetamu menziarahinya tetap ramai. Bukan itu saja, saya melihat imam-imam
surau, pemimpin-pemimpin masyarakat setempat turut hadir beri
penghormatan terakhir kepadanya. Suatu perkara yang jarang berlaku jika
ada kematian di tempat saya. Mereka menunaikan solat jenazah sebelum
Zohor kerana masing-masing ada tugas hendak dilakukan.
Seusai
solat jenazah, ada ahli keluarga yang baru sampai. Mereka meminta izin
untuk melihat wajah arwah. Dengan perlahan, saya buka ikatan kafan di
atas kepalanya dan menyelak kain sehelai demi sehelai sehingga
terlihatlah wajahnya yang berjanggut panjang itu. MasyaAllah.
Sangat tenang. Mulutnya kering tertutup rapat tanpa perlu diikat.
Matanya terpejam rapi tanpa perlu dipaksa tutup. Kelihatan ada air mata
bertakung di tepi kedua-dua mata arwah. Ini petanda yang baik.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah, selesai solat Zohor. Solat jenazah
kali kedua pula dilakukan kerana masih ramai yang belum berkesempatan
menunaikannya.Hujan di luar masih lebat. Setelah selesai solat
jenazah, saya lihat ramai orang berpusu-pusu untuk mengangkat kerandanya
sedangkan waktu itu masih hujan. Seolah mereka tidak menghiraukan baju
yang basah lencun dek hujan. Jenazah dikebumikan dengan bantuan
ramai anak muda yang sanggup basah ditimpa hujan dan pakaian dikotori
lumpur. Alhamdulillah, sempurna segalanya.
Inilah hikmah yang
Allah swt ingin tunjukkan pada semua sebagai satu pedoman buat kita.
Saya tidaklah begitu rapat dengan arwah kerana arwah kebiasaannya
sesudah solat terus balik ke rumah. Hanya sesekali sempat bertegur sapa.
Satu kelebihannya adalah istiqamah berjemaah Subuh di surau. Di
tempat kami ada beberapa surau yang berdekatan. Arwah akan pergi ke
setiap surau bergilir-gilir. Pernah sekali waktu saya baru pulang
menguruskan jenazah dari Hospital Serdang, saya melihat arwah sedang
minum di sebuah kedai berhampiran. Waktu itu jam 3:00 pagi. "Hairan, apa
orang tua ni buat malam-malam gini," kata hati saya.
Malam
berikutnya saya berjumpa dengannya di surau dan bertanya tentang hal
itu. Jawapannya, "Saya ingat dah Subuh, saya pun siap-siaplah. Sampai
surau tengok gelap lagi. Bila tengok jam. Allah! Pukul 2:30 pagi! Itu
yang pergi minum tu alang-alang dah bangun. Hehe."
Begitulah istiqamahnya arwah dalam menjaga waktu Subuhnya. Sungguh, saya pun tidak setanding arwah! Dia tidak ada sakit sebelumnya. Diceritakan kepada saya, malam itu
sewaktu solat Maghrib. Jemaah di sebelahnya melihat arwah seolah-olah
mahu rebah namun sempat disambut oleh jemaah lain. Selepas solat dia
terus pulang dan tidak bersama berjemaah sewaktu Isyak.
Pagi
sebelum Subuh, dia ingin bangun bersiap untuk ke surau seperti biasa.
Isterinya masuk ke dalam bilik air dahulu, setelah isterinya keluar dia
melihat arwah sudah terbaring di ruang tamu. Saat itulah nyawanya telah
diambil oleh Illahi. Subhanallah.
Insya'Allah
barang siapa yang mati dalam keadaan baik. Maka kehidupan di akhirat pun
pasti baik. Semua tanda-tanda ini terdapat pada Rasulullah s.a.w semasa
kewafatan Baginda s.a.w. Semoga Allah swt mengurniakan kita semua Husnul Khatimah. Ameen ya Rabbal a'lameen...