(Membaca Jabatan Ilmu tapi Awas Bahan Bacaan Anda)
MUQQADIMAH
Pada asalnya apabila disebut Israiliyyat الاسر ائيليات ianya merujuk kepada khabar-khabar yang dibawa oleh Bani Israil atau kaum Yahudi. Namun begitu, para ulama meluaskan maksud Israiliyyat sehingga ianya meliputi khabar atau cerita yang bersumberkan golongan Yahudi dan Kristian.
Kata al-Syeikh Muhammad Husain al-Zahabi di dalam Al-Tafsir wa Al-Mufassirun :
"Perkataan al-Israiliyyat walaupun pada zahirnya menunjukkan maksud corak Yahudi dan pemikiran mereka secara jelas kepada tafsir al-Quran, namun kita maksudkan al-Israiliyyat apa yang lebih luas dan merangkumi; iaitu corak Yahudi dan Kristian kepada tafsir, juga apa yang mempengaruhi tafsir al-Quran daripada pemikiran Yahudi dan Kristian"
BAGAIMANA ISRAILIYYAT BOLEH MASUK KE DALAM TAFSIR AL-QURAN
Apabila Islam berkembang pesat, maka golongan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Kristian turut menganut Islam. Mereka ini membawa masuk bersama mereka pengetahuan lama mereka ambil daripada Taurat dan Injil. Apabila mereka mendengar Al-Quran menceritakan sesuatu peristiwa umat zaman dahulu, mereka pun menyebut apa yang mereka tahu daripada kitab mereka. Sedangkan isi kandungan kitab-kitab mereka telah diubah dan dicemeri kisah-kisah karut yang merobek ketulenannya. Ini seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran :
Maksudnya :
"Sesungguhnya segolongan mereka (Yahudi) mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedangkan mereka mengetahuinya."
(surah Al-Baqarah 2:75)
Allah berfirman lagi :
"Mereka menulis kitab yang dengan tangan mereka, lalu mereka menyatakan, ini daripada Allah"
(surah Al-Baqarah 2:79)
JOM BERFIKIR LEBIH JAUH DAN FAHAM
Sebagai satu perbandingan,jom berfikir lebih jauh dan memahami serta faham. Hal yang sama dapat dilihat apabila orang Melayu terdahulu beragama Hindu, apabila datangnya Islam lalu mereka memeluk Islam. Namun dalam masa yang sama mereka membawa masuk ke dalam Islam adat-istiadat yang bersumberkan ajaran Hindu seperti bersanding, tepung tawar, berus kunyit yang akhirnya mencemarkan tauhid Islam yang bersih. Demikianlah sebahagian riwayat Israiliyyat mencemarkan tafsir.
TIdak dinafikan kemungkinan ada riwayat Israiliyyat yang betul. Namun oleh kerana pembohongan terhadap fakta agama adalah tabiat kaum Yahudi terdahulu, juga kristian, maka kita hendaklah berhati-hati dalam mengambil daripada mereka cerita-cerita tersebut, tetapi bukan untuk dijadikan pegangan.
TIGA PEMBAHAGIAN ISRAILLIYAT
(1) Cerita-cerita Israiliyyat yang kebenarannya dan disokong oleh dalil- dali daripada hadith yang Thabit.
Contohnya: Kisah Nabi Khidir dengan Musa a.s. yang di ceritakan oleh Surah al-kahfi. Al-Quran tidak menyebut nama Nabi Khidir secara jelas melainkan menyatakan:
Allah berfirman :
Maksudnya :
"Hamba dari kalangan hamba-hamba kami (Allah) yang kami berikannya rahmah dan kami ajarkan ilmu di sisi kami."
(Surah al-Kahfi 15 :65)
Riwayat Israiliyyat menyatakan namanya ialah Khidir. Ini disokong pula hadith yang sahih, antara yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Tafsir di dalam kitab sahihnya. Riwayat seperti ini kita akui kebenaran kerana ianya dibukti oleh hadith yang Thabit.
(2) Apa yang diketahui ianya bertentangan dengan syariat kita, ataupun ianya bertentangan dengan akal yang waras yang memahami roh Islam yang sebenar. Riwayat yang seperti ini ditolak sama sekali.
Contohnya : Riwayat Dusta ketika menafsir Surah Qaf yang menyebut bahawa Qaf adalah bukit yang mengelilingi langit dan bumi. Ini adalah dusta dan khurafat yang bertentangan dengan akal yang waras. Memalukan agama di hadapan para pengkaji alam yang terdiri daripada orang kuffar. Ianya hanya khurafat dan dusta bani Israil, tidak harus meriwayatnya.
Contoh lain : Cerita bahawa bahawa kapal Nabi Nuh a.s. tawaf kaabah dan bersolat dua rakaat di makam Nabi Ibrahim a.s. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Jika difikirkan semula Nabi Nuh a.s wujud terlebih dahulu sebelum adanya Nabi Ibrahim a.s. DI mana kaabah dan makamnya ketika itu? Bagaimana seseorang itu ditemuai makamnya sedangkan ia belum pun dilahirkan? Tidak tecapai akal bukan? Para pembaca akan melihat bantahan ulama hadith terhadap riwayat ini dalam kebanyakkan kita 'ulum Al-Hadith di bawah tajuk al-Hadith Al-Maudu'. Termasuk yang menempelak riwayat Al-Imam al-syafi'i. Kata al-Syeikh Abu Syahbah : Ini adalah khurafat yang direka Yahudi. Malang sekali masih golongan yang berceramah menjadi pembaca cerita dusta dan haram ini.
(3) Riwayat yang tidak ada dalil yang menyokongnya, juga tidak ada dalil yang menyanggahnya dari nas ataupun akal.
Bagi riwayat bahagian ketiga ini kita tidak menyatakan ianya betul atau salah. Selagi ianya tidak tercemar agama kita boleh meriwayatnya, namun kita tidak menyatakan secara putus kebenarannya. Ini seperti nama-nama ashab al-Khafi. Kisah lembu dalam Surah Al-Baqarah yang diperincikan oleh riwayat Israiliyyat melebihi apa yang disebut oleh Al-Quran.
Sekalipun bahagian ketiga ini boleh diriwayatkan tetapi hendaklah dengan hati-hati, dengan tidak menyatakan ianya benar ataupun dusta, sekadar menyebutnya dengan menyatakan ianya Israiliyyat. Di samping itu hendaklah kita sedar bahawa apa yang diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran adalah memadai. Al-Quran adalah kitab petunjuk yang terbaik daripada Allah S.W.t yang pasti ketulenan semua faktanya. Adapun riwayat-riwayat itu dengan dipenuhi keraguan.
KESIMPULANNYA
Di saat dunia semakin canggih dan moden.Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakkan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakkan kepercayaan. Hanyalah Islam yang Syumul dan Ad-Din yang menolak khurafat, tahyul dan karut marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja yang dapat menghadapi perkembangan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah yang sahih.
Wa'Allahu'alam... Barakallahu fi..
thnx. tahu pasal ludah iblis menjadikan lekuk di perut seterusnya menjadi pusat?
BalasPadamtu pun salah satu unsur israiliyyat jugak menurut Ust. Asri.
mmg byk pun unsur israiliyyat dah dlm agama ni, cuma, para daie kenelah bijak menapis dan berilmu utk kaji sesuatu perkara. sbb tu la tingginya darjat orang yang ilmu dan sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang bersungguh2 dlm pekerjaannya.
insyaAllah.