Jumaat, 18 Mac 2011

Maafkan Kami Ya Rasulullah


Misal kata Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita. Ketika itu baginda datang dengan tersenyum dan muka berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut. Kita juga akan memeluk erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita pasti akan meminta Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di ruang tamu.Tapi kemungkinan pasti kita meminta Rasulullah menunggu di depan pintu sebentar kerana teringat VCD 18+ atau lukisan separuh bogel yang melekat diruang tamu kita sehinggakan kita terpaksa memindahkannya semuanya ke belakang dan tergesa-gesa kemudian mengantikkannya dengan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita melekat di ruang tamu.

Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika baginda bersedia untuk menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikit pun sejarah Rasulullah s.a.w., keluarga baginda dan para sahabat. Kita juga terpaksa menjadikan ruang tamu sebagai ruang solat, malah segera mencari kopiah, serban serta jubah juga Al-Quran manakala bagi anak dan isteri kita terus kita belikan  pakaian menutup aurat demi menutup malu kerana selama ini tidak pernah kita menyuruh anak dan bini kita menutup aurat.
Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan kita dan lakonan kita tersebut? Belum lagi kaset, kaset lagu barat dan cd karoeke serta set karoeke? Ke mana hendak kita singkirkan semua itu  demi menghormati junjungan Nabi kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan maghrib kerana kebiasaannya pada waktu itu kita masih bersama keluarga kita di hadapan TV. 

Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang kita lakukan ? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuatkan kita segan dan malu. Maafkan kami Ya Rasulullah. Oh betapa memalukan kehidupan kita saat di mata Rasulullah. Itu belum lagi cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.?

Layakkah kita menyatakan rindu buat beliau? Layakkah kita bergelar umat Muhammad? dan layakkah kita mendapat syafaatnya kelak? Maafkan kami Ya Rasulullah.

2 ulasan:

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular