Isnin, 27 Mei 2013

Kita Hamba Allah


Bismillahir Rahmanir Rahim..


Sesekali terdetik hati ini bertanya kepada diri sendiri, apakah amalan selama ini sudah cukup untuk menjadi bekalan di akhirat sana? Sekalipun cukup, apakah timbangan amal kebajikan itu dapat mengatasi amalan kejahatan? Bagaimana hendak disembahkan amalan-amalan ini kepada Dia. Apakah Dia sudi menerimanya…?Astaghfirullahal ‘aziim…, kecilnya diri insan bila menyedari bahawa kita hanya seorang hamba. Sekalipun di angkat darjat sebagai manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini dan dikurniakan akal fikiran, hakikatnya kita tetap kerdil di sisiNya jika kita tidak beriman. Apalah gunanya pangkat dan nama, jika kita sering menzalimi diri sendiri? Bagaimana ingin dipulangkan kembali segala apa yang dipinjamkanNya di dunia ini dalam keadaan sempurna? Malunya untuk berhadapan denganNya dengan keadaan yang penuh dengan dosa ini.

Tangan ini dikurniakan untuk beramal bakti, tolong-menolong untuk kebajikan, memohon doa kepadaNya, kaki ini diberikan untuk melangkah ke tempat-tempat mulia yang dapat menuju ke SyurgaNya, mata pula dikurniakan untuk melihat dan menghayati segala ciptaanNya dan kemudian menginsafi akan kelemahan diri sendiri. Bibir ini dicipta untuk menyebut asma-asmaNya.Tetapi apakah semua ini digunakan tepat pada jalanNya? Jika benar, mengapa terlalu sukar untuk kita mengalirkan air mata bila melihat kebesaranNya? Mengapa pula sukar untuk tinggalkan kemaksiatan? Apakah kerana terlalu sedikit keikhlasan yang diberikan atau mungkinkah kita terlalu ego? Mengapa kita membiarkan diri kita terus berada dalam dosa sedangkan kita tahu bahawa segala yang dijanjikanNya adalah benar yakni nikmat dan azabNya itu adalah benar?Kita tahu akan dosa dan pahala, tetapi sering tidak mengendahkannya. Kita sedar akan adanya kematian, tetapi sering melupakannya. Kita juga sedar dunia ini hanya sementara tetapi hidup seolah-olah untuk selamanya.

Bila mendapat kejayaan dan nikmat, jarang sekali mgucapkan syukur kepadaNya seolah-olah kita perolehnya dengan usaha kita sendiri semata-mata. Kita mengaku adanya Tuhan, tetapi sedikit sekali yang beriman. Bukankah kita terlalu angkuh kepadaNya…..mengapa kita jadi sebegini jahil sedangkan kita ini lemah tiada kuasa dan daya melainkan dengan pertolonganNya. Sedarlah insan, tiada apa yang membahagiakan di dunia ini melainkan hanya penderitaan semata-mata jika kita tidak beriman kepadaNya. Dekatkanlah diri kita denganNya. Rendahkanlah diri dihadapanNya dalam beribadah, basahilah pipi ini dengan air mata taubat yang sebenar-benar taubat, sinarkanlah wajah ini dengan siraman air wudhuk, bersihkan dan sucikan hati yang selama ini dikotori dosa-dosa dengan wangian keikhlasan dalam segala amal kebaikan dan pagarilah diri ini dengan benteng keimanan yang utuh dan kukuh dengan keyakinan yang kuat bahawa Allah sentiasa bersama kita biarpun dalam suka mahupun duka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular