Isnin, 12 April 2010

Ikhtilat dan Perinciannya (2)

(Berpesan-pesanlah kepada Kesabaran)

Bagaimana Pergaulan Yang Islam Benarkan

Walaupun hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah keras dalam Islam, tetap ia dibolehkan kerana bersandarkan dengan beberapa alasan. Antaranya darurat, keperluan yang diizinkan syarak (hajah syar'iyah), kepentingan yang diizinkan syarak (maslahat syar'iyah) atau kebiasaan adat setempat yang lulus pada pandangan syarak.

Perincian Kes-Kes membolehkan

1. Boleh kerana alasannya Darurat

Boleh bergaul silang jantina ajnabi atas alasan darurat. Contohnya, lelaki lari bersama perempuan ajnabiyah (bukan mahram) bagi mengelakkannya daripada diperkosa.

2. Boleh kerana ada keperluan

a)  Boleh bergaul kerana urusan muamalat yang diharuskan syarak seperti jual beli dan lain-lain dengan syarat tidak melanggar hukum dan adab-adab Islam.

b) Boleh bergaul kerana melaksanakan tugas kehakiman dan perbicaraan. Dalam mazhab Hanafi, wanita boleh menjadi hakim dalam kes-kes bukan hudud. Ibn Hazmin  daripada Mazhab al-Zahiri berpendapat, wanita boleh menjadi Hakim dalam semua kes. Tugas hakim memerlukan wanita bergaul dengan lelaki.

c)  Boleh bergaul kerana wanita perlu mengemukakan kesaksian dalam perbicaraan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 282 : ~ 

"Apabila keduanya (saksi) bukan dua lelaki, maka ia hendaklah terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada kalangan saksi yang kamu reda"

D)  Boleh bergaul kerana menghormati tetamu. Dalam Sohih Muslim dikisahkankan tentang seorang lelaki datang menemui Rasulullah. Beliau lantas bertanya kepada para sahabat, siapa yang sanggup menerima lelaki itu sebagai tetamu. Seorang sahabat daripada kalangan Ansar mengatakan, "Saya, ya Rasulullah". Sesudah itu, dia pun beredar balik ke rumah bertanya isterinya, "Kamu ada sesuatu untuk dimakan?" Jawab isterinya, "Tidak, kecuali makanan bagi anak-anak kita" Jawab lelaki itu, "Lengah-lengahkan mereka dengan urusan lain. Apabila tetamu kita datang, padamkan lampu dan perlihatkan seolah-olah kita sedang makan. Apabila dia mula makan, kamu berdirilah dan padamkan lampu." Apabila lelaki itu sampai, suami isteri itu duduk bersama tetamu mereka terus makan. Apabila subuh, lelaki itu berjumpa dengan Rasulullah, beliau berkatanya, "Allah kagum pada apa yang kamu lakukan pada tetamumu pada malam tadi." Hadith ini menunjukkan, isteri sahabat itu berada suaminya melayan tetamu mereka makan.

E) Boleh bergaul kerana tujuan berjihad fi sabilillah dalam bentuk yang umum. Ini berlaku apabila para sahabat wanita (Sahabiyat) turut serta di medan perang memberikan rawatan kepada Muslimin yang luka, menyediakan makanan dan menghantar pulang mereka yang syahid ke Madinah. Keadaan ini menuntut wanita dan lelaki ajnabi bercampur, tetapi ia dibolehkan kerana menyempurnakan tuntutan syarak. Rabi'e Binti Muawiz berkata, "Kami bersama Rasulullah memberi minum dan rawatan kepada mereka yang luka dan menghantar pulang mereka yang terkorban ke Madinah."

F) Boleh bergaul silang jantina ajnabi bagi mendengar nasihat, teguran dan bimbingan seperti mendengar ceramah agama dalam konteks hari ini. Imam Bukhari merekodkan laporan Ibnu Abbas, "Pada suatu hari raya, beliau keluar dan sembahyang dua rakaat. Beliau tidak sembahyang sebelum dan sesudahnya. Kemudian beliau berpaling menghala kepada kumpulan kaum wanita dan mengarahkan mereka supaya bersedekah. Mereka pun menyerahkan gelang dan rantai yang dipakai." Hadith ini jelas menunjukkan, kaum wanita turut berada dalam majlis itu.

Fenomena Ikhtilat Dibenarkan

Ikhtilat yang banyak berlaku yang boleh dipandang baik dalam pergaulan semasa ziarah-menziarahi keluarga, kawan dan sahabat handal. Pergaulan juga berlaku dalam majlis-majlis rasmi ataupun tidak rasmi seperti mesyuarat, kenduri-kendera, sambutan hari tertentu ataupun sebagainya. Pergaulan seperti ini adalah dibolehkan dengan syarat semua pihak hadir mestilah berpegang teguh dengan hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan pakaian, percakapan dan pandang-memandang antara lelaki dan wanita. Mereka yang hadir perlulah menutup aurat dengan sempurna. Percakapan mereka juga berlaku seperti biasa tiada dimanja-manja dan dilunak-lunakkan. Pandang-memandang juga tidak punya unsur nafsu dan syawat, pandangan berisyarat, tidak berlaku khalwat, tidak bercampur gaul tanpa batas. Apabila hukum, peraturan, adab dan tata susila ini tidak dapat dipatuhi, pergaulan itu adalah ditegah, ditolak syarak dan berdosa.

Ikhtilat Berlaku Kerana Menuntut Ilmu

Persoalan untuk difikirkan, bolehkah lelaki dan wanita ajnabi berada dalam satu majlis ilmu seperti yang berlaku di sekolah, institut pengajian tinggi  dan majlis-majlis ilmu lain?

Ada dua pendapat tentang hal ini : ~

Yang pertama mengatakan, ikhtilat yang berlaku dalam majlis ilmu adalah ditegah. Ia tidak dibolehkan. Hujah dikemukakan merujuk terus kepada hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, katanya :

"Kaum wanita berkata kepada Nabi : Kaum lelaki menewaskan kami ke atasmu, tentukanlah satu hari bagi kami. Beliau menetapkan satu hari apabila hanya wanita yang mendapat tunjuk ajar daripada Nabi Muhammad tanpa kehadiran kaum lelaki"

Hadith ini menunjukkan, wanita tidak boleh bersama dalam satu majlis ilmu dengan lelaki ajnabi. Majlis mereka mestilah berasingan. Sekiranya ia dibolehkan, tentulah wanita tidak meminta ditentukan satu majlis asing khusus bagi mereka. Dan sekirannya dibolehkan, sudah tentu tidaklah Rasulullah menentukan satu hari lain khusus bagi wanita.

Pendapat kedua mengatakan, wanita dan lelaki ajnabi boleh bercampur dalam satu majlis ilmu. Hujah yang dikemukakan adalah :

1. Fukaha membolehkan pergaulan silang jantina ajnabi bagi keperluan yang diizinkan syarak. Apabila pergaulan kerana keperluan seperti menaiki kenderaan awam, melayan tetamu, ziarah-menziarahi dibolehkan, pergaulan antara silang jantina ajnabi bagi tujuan menuntut ilmu sepatutnya lebih dibolehkan. Suasana menuntut ilmu lebih beradab, lebih warak dn lebih selamat daripada fitnah berbanding majlis-majlis lain.

2. Selain itu, hadith yang boleh dijadikan hujah oleh pendapat pertama sebenarnya tidak boleh dijadikan hujah kes ini. Kaum wanita meminta satu masa khusus bagi mereka bukan kerana mereka melarang berada dalam satu majlis ilmu dengan lelaki ajnabi, tetapi kerana tabiat tanggungjawab mereka  menyebabkan mereka tidak banyak masa dengan Rasulullah. Tidak sama dengan kaum lelaki yang kebanyakkan masa mereka bersama Rasulullah. Oleh itu mereka meminta satu majlis khas bagi mereka.


    Kita memilih pendapat kedua kerana hujahnya yang logik. Namum, pergaulan itu mesti mematuhi hukum-hukum syarak,  adab-adab Islam dan bersistem. Tempat wanita dalam majlis itu sebaik-baiknya dipisahkan dari tempat lelaki bagi mengelakkan percampuran.

Wa'Allahu'alam..

P/S : Islam itu mudah dan syumul serta panduan Islam itu bersifat kontemporari.. Hargailah keIslam yang dianugerahkan buat kita.. Hargailah Nikmat Iman dan selamat beramal..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular