Rabu, 25 Ogos 2010

Sifat Bersangka baik Bermula Dari Diri Sendiri (Siri I )

Firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian besar sangkaan itu berdosa. Dan jangan kamu mengintip dan jangan kamu mengumpat setengah kamu kepada setengah yang lain."
(Surah Al -Hujurat ayat 12)

Para pembaca sekalian,

Hanya Allah Ta'ala sahaja tahu siapakah yang bakal menduduki syurganya. Bukan kita. Kita bukan penentu atau orang yang selayaknya untuk menghukum sama ada seorang itu baik atau buruk. Ingatlah, tidak semestinya orang jahat di mata kita itu juga jahat di sisi Allah. Sebaliknya pula, tidak semestinya orang yang baik di mata kita itu mulia di sisi Allah Ta'ala.

Ingatkah kita kisah Imam Barsisa, dia pada awalnya menjadi ulama yang disanjung tetapi diakhirnya mati direjam kerana berzina. Begitu juga kisah lelaki yang membunuh genap 100 orang, akhirnya mati dalam perjalanan untuk bertaubat dan di masukkan ke dalam syurga. Dunia bukanlah tempat mengukur baik dan buruk seseorang. Dunia adalah tempat bekerja dan beramal. Justeru itu, hati perlu dibuang daripada label isme, prejudis, sikap mengutuk, sikap menghukum dan sebagainya. Sebaliknya, kita amat perlu bersifat keterbukaan, kesediaan menerima dan bersangka baik sesama makhluk.

Bersangka Baik Sifat Rasulullah 

Sifat berbaik sangka ini adalah sifat Rasulullah. Dengan sifat ini ramai yang terpesona akan baginda dan menjadi asbab ramai yang mengikuti agama yang dibawanya. Pernah suatu ketika seorang lelaki bernama Buraidah datang dan kedatangannya bertujuan menangkap baginda. Sewaktu itu baginda sedang bersama Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a. Sebaik sahaja tiba lelaki itu berdiri dihadapannya, maka baginda bertanya, " Siapakah nama kamu?" Jawab lelaki itu, "Aku Buraidah". Maksud nama Buraidah ialah berasal daripada perkataan bard iaitu bererti sejuk.

Lalu baginda berkata, "Alhamdulillah wahai Abu Bakar, kita berada dalam kesejukan yang nyaman." Lalu Rasulullah s.a.w bertanya lagi, " dari daerah manakah asal kamu? " Lalu Buraidah menjawab, "dari daerah Aslam.". Aslam membawa maksud telah diselamatkan. Baginda lantas berkata, "Alhamdulillah, wahai Abu Bakar hari ini kita telah pun diselamatkan oleh kehadiran tetamu kita yang mendamaikan." Akhirnya dengan sikap bersangka baik Rasulullah ini menyebabkan Buraidah malu untuk meneruskan niatnya menangkap baginda.

Lihat bagaimana hebatnya kuasa bersangka baik itu sehingga boleh merubah keputusan dan niat seseorang di sekeliling kita. Jika kita mempunyai daya pemikiran positif yang kuat serta mampu dijelmakan dalam perkataan, wajah dan gerak geri kita, pasti ia akan memberi impak yang besar dalam usaha mengajak manusia ke jalan Allah.. Insya-Allah.

Akan bersambung di siri II..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular