Selasa, 16 Mac 2010

Wahabi (sesuatu yang tiada hakikatnya)


Istilah ‘Wahabi’ dan kaitannya dengan Muhammad Bin Abdul Wahab

            Istilah Wahabi kini hangat di sebut. Istilah ini di katakan berkaitan dengan Muhammad Bin Abdul Wahab kerana nama Wahabi di ambil dari nama ayah Muhammad Bin Abdul Wahab. Wahabi ialah sesuatu yang tiada hakikatnya. Isu ini telah lama didengari dan diperkatakan dari zaman ke zaman, namun ia tetap akan berterusan selagi mana masyarakat masa kini tidak cuba memahami secara ilmiah tentang perkara ini. Sesungguhnya Islam dibina di atas manhaj ilmu iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Oleh itu para ulama’ salaf sering menyatakan ilmu itu ialah apa yang difirmankan Allah dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah diingatkan di sini bahawa janganlah kita bercakap tentang sesuatu tentang perkara yang kita tidak ada ilmu mengenainya.

Firman Allah S.W.T :


Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.
(Surah al-Isra’ 17 : 36)

Sekiranya kita bercakap di atas sesuatu perkara yang kita tidak mengetahui dikhuatiri akan terjebak ke dalam kancah fitnah pula. Tetapi fenomena ini berlaku di tengah-tengah masyarakat di mana mereka melabelkan sebahagian mereka dengan Wahabi atau kaum muda. Apabila ditanya kembali apa itu Wahabi, mereka membisu. Ada yang menjawab Wahabi itu tidak membaca qunut Subuh, Wahabi tidak membaca zikir selepas solat berjemaah, Wahabi itu tidak membaca surah Yasin pada hari khamis malam jumaat, Wahabi itu tidak membuat kenduri arwah dan sebagainya.

Ini dikatakan bercakap bukan berdasarkan ilmu tapi bercakap hanya sekadar apabila didengari itu kata orang kita ikut. Diulangi sekali lagi bahawa kita akan dipersoalkan di hari akhirat kelak atas apa yang kita perkatakan.

Secara ringkas Wahabi yang beria-ria dinisbahkan kepada Muhammad Bin Abdul Wahab, beliau dilahirkan pada tahun 1115 hijrah di Najd dan meninggal pada tahun 1206 hijrah. Perjuangan beliau mengembalikan kesucian tauhid, jauh dari syirik, khurafat. Beliau berjuang menegakkan Sunnah dan menentang bid’ah dalam agama. Pengerakan Muhammad Bin Abdul Wahab bukan satu mazhab baru. Bahkan beliau sendiri bermazhab Hambali dan banyak mengambil ilmu dari ajaran Ibnu Taimiyah. Manhaj yang digunakan dalam berdakwah ialah manhaj Salafus Soleh iaitu manhaj yang dibawa oleh umat tiga kurun yang pertama dan terbaik sepertimana yang disabdakan Nabi s.a.w. “Sebaik-baik manusia ilah kurunku (zaman Nabi dan para sahabat r.a.), kemudian kurun selepasnya (tabiin), kemudia selepasnya (tabi’tabiin).

Jasa dan perjuangan dakwah Muhammad Bin Abdul Wahab sudahlah kita tak hamparkan dengan permaidani merah, sebaliknya perjuangan dakwah beliau dirintangi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Begitulah yang dihadapi oleh Muhammad bin Abdul Wahab. Musuh-musuh yang tidak berpuas hati dengannya lalu melabelkannya sebagai Wahabi. Sepatutnya ianya lebih tetapt dengan label Muhammadiyah lalu dinisbahkan kepada ayahnya Abdul Wahab maka jadilah Wahabi. Itulah hakikat sebenarnya nama Wahabi kini dipermainkan, dijadikan bahan tuduh menuduh yang tidak diketahui oleh masyarakat kita pada hari ini.

Usah musuhi Musuhi Muhammad Bin Abdul Wahab hanya kerana
 gelaran ‘Wahabi

 Di Malaysia nama Dr.Yusuf al-Qardhawi sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat. Begitu juga di kalangan ustaz-ustaz yang memusuhi golongan yang dilabelkan Wahabi ini. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh al-Awlawiyyat memuji Muhammad Bin Abdul Wahab katanya “ Bagi al-Imam Muhammad Bin Abdul Wahab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaan untuk memelihara benteng Tauhid dari syirik yang telah mencemarkan Tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menangung bebanan dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik."

            Satu lagi nama yang tidak asing bagi masyarakat kita ialah Dr. Wahbah al-Zuhaili yang memuji Muhammad Bin Abdul Wahab dengan berkata; “ Sesuatu tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenarnya bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “ Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya”. (surah Hud 11: 85) bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah yang terbesar untuk islah (pembaikan) membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang denga jalan Salafus Soleh ( Ahli Sunnah Wal-Jamaah) yang terbesar ialah dakwah Muhammad Bin Abdul Wahab pada kurun ke 12 hijrah.

            Tujuannya adalah untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari dengan pelabagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad Bin Abdul Wahab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikan (islah) yang dinantikan, yang menzahirkan timbangan akidah yang bersih.

Penutup

            Suatu kisah yang masyhur seorang syeikh selalu berdoa keburukan dan laknat keatas Muhammad bin Abdul Wahab, suatu hari anak muridnya meletakkan kitab yang ditulis oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah dikoyak kulitnya supaya syeikhnya tidak mengetahui siapakah penulisnya. Setelah membaca kita tersebut anak muridnya tadi datang kepadanya lalu berkata “Wahai syeikh bagaimanakah isi kandungan kitab itu” lalu syeikhnya menjawab kitab ini sangat bagus untuk dijadikan sebagai rujukan dalam akidah. Selepas itu anak muridnya mengeluarkan semula kulit buku tersebut dan menyatakan bahawa yang menulis kitab itu adalah Muhammad Bin Abdul Wahab. Syeikh tersebut terkejut dan menangis kerana menyesal. Setelah itu setiap kali berliau mendoakan memohonkan kebaikan keampuanan dan berdoakan kebaikan kepada Muhammad Bin Abdul Wahab.

            Suatu perkara yang penting bahawa mereka yang dilabelkan sebagai ‘Wahabi” ini hanya berdalilkan kepada al-Quran dan Sunnah serta membawa perkataan-perkataan para imam yang muktabar seperti imam mazhab yang empat. Sebagai contoh masalah zikir secara bersendirian dan senyap selepas setiap kali sembahyang, mereka membawa kitab Imam al-Syafie sendiri iaitu al-Umm juga perkataan Iman Al-Nawawi dalam syarah Muhazzab untuk menyatakan zikir hendaklah senyap kecuali mengajar bukannya pendapat Muhammad Bin Abdul Wahab. Adakah Imam al-Syafie dan Iman al-Nawawi  Wahabi? Itulah sekirannya jahil terhadap masalah agama.
           
Seperti yang dinyatakan sebelum ini penulisan-penulisan Muhammad Bin Abdul Wahab hanya tertumpu kepada permasalahan akidah. Jadi apa yang diajarkan oleh sebahagian mereka yang dilabelkan sebagai Wahabi tiada kene mengena dengan gerakan pengislahan Muhammad Bin Abdul Wahab.
          
  Akhirnya kita mohon kepada Allah agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat serta dihapuskan dosa akibat kejahilan kita dan orang lain terutamanya. Permasalahan Wahabi tidak wajar ditimbulkan lagi dan ia sesuatu yang tiada hakikat, sebaliknya ajaran yang cuba disampaikan oleh Muhammad Bin Abdul Wahab ialah ajaran Islam bukan Wahabi.

Wallahua’alam.                                                                                      
             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha

Tegaknya Islam kerana Islam Satu-satunya Agama Yang Allah Redha
Letakkan Al-Quran sebagai Panduan Hidupmu dan As-Sunnah sebagai gaya hidupmu

Antum/Antuna semua (ukhwah fillah)

Artikel - Artikel Popular